Friday, November 14, 2014

OPENING ADDRESS THE WORLDVIEW OF ISLAM AN OUTLINE-Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Secara keseluruhan makalah ini memperjelaskan hakikat atau rasional tanggapan ummah mengenai pandangan hidup sejagat. Apa peranan yang wajar kita lakukan terhadap kegulatan dunia serba mencabar hari ini. Dan bagaimana umat Islam terutamanya melihat kegairahan dunia serba moden. serta tuntutan-tuntutan yang perlu ditangani oleh masyarakat Islam khasnya. Saranan Prof. Naquib kepada  individu-individu seterus manusia sejagat bahawa  gejala hakikat dunia hari ini perlu ditafsirkan melalui pandangan mata hati yakni rohani, tetaapi tidak digelidahi hanya melalui proses evolusi semata-mata.

Ternyata prasarana dunia moden bagaikan dirasuki ketamadunan teknologi. Yang dapat membeli pegangan akidah dan keutuhan anutan tauhid masyarakat Islam. Masyarakat begitu taksub kepada aspek-aspek kebendaan. Mata hati dikaburi limpahan kemodenan, sedangkan keberadaan ini sifatnya hanyalah sementara, yakni fana. Juzuk-juzuk pandangan mereka terhadap kehidupan akhirat menjadi lompong, dan lesu seolah-olah Tuhan diperlukan hanya pada keadaan-keadaan tertentu. Sedangkan hakikat sebenar, pada hari kebangkitan setiap hamba Tuhan akan dikumpulkan kelak di hadapan Allah S.W.T. Kitab amalan manusia akan dihisab, dan pada saat itu barulah manusia sedar bahawa keindahan yang ditempelkan di dunia hanya sifatnya sementara dan sia-sia. Akan tetapi di saat ini manusia akan terasa betapa ruginya, peluang yang diberikan semasa hidup di dunia tidak dimanfaatkan untuk tujuan akherat.

Dalam menangani fenomena kepesatan pembangunan sains, kewajaran bagi manusia Timur membina kefahaman pengetahuan sains dan teknologi perlu diiringi dengan nilai-nilai agama, budaya dan tatasusila kehidupan sesuatu bangsa. Budaya sains tidak harus dipencilkan dengan hakikat beragama. Jika kita merenung jauh ke dasar sejarah ketamadunan Islam, kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh para ilmuan Islam dalam konteks ilmu sains. Begitu jugalah bidang falsafah, seseorang itu boleh memikirkan konsep ketuhanan,  kerasionalan, nilai-nilai dan apapun dan haruslah dikaitkan dengan pembangunan kerohanian (spritual) yang boleh sahaja diterima ataupun ditolak menurut perspektif rasional yang objektif. Dengan syarat kedudukan sesuatu perkara itu perlulah berlandaskan epistemologi yang jitu.Nilai-nilai kesejagatan manusia perlu diukur berdasarkan ilmu-ilmu wahyu dan juga hadis Rasulullah s.a.w. Dalam usaha untuk menyatupadukan sains dengan nilai-nilai seseorang, amat perlu juga nilai-nilai murni yang berdasarkan dengan fahaman agama (Islam).

Menurut perspektif sarjana  Barat, bahawa sains tidak mempunyai hierarki. Tetapi menurut Islam, ilmu mempunyai hierarki atau martabat. Tuham mengurniakan akal minda, daya taakulan, justeru berpotensi memikirkan diiringi kekuatan emosi yang tuntas memungkinkan mereka menahan kemungkaran, dan merasai nikmat untk melunaskan kemakrufan, atau dengan erti yang lain Tuhan menganugerahi manusia Qalb yang mendorong mereka memperolehi maklumat dan sumber, lalu dicerangkinkan melalui kekuatan akal tadi. Kekuatan rohani menolak keresahan mencari sinaran kudus, lalu beramal dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi mazmumah. Tidakkah kita fikirkan, Tuhan mencipta fizikal manusia dengan sebaik-baik kejadian. Kedudukan ini masih menjurus kepada aspek-aspek nilai, ilmu mantik yang dapat menerajui atau mengemudi akal seseorang hamba Tuhan. Nilai-nilai yang akan mendominasi seseorang itu jika nisbinya dihubungkan dengan nilai sains yang sifatnya mantik, sistematik dan objektif, yang melahirkan seseorang itu berfikiran positif dan kritis dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini.

Sains menurut pandangan Barat, ilmu tidak mempunyai hierarki (martabat), sebaliknya melalui sudut Islam, ilmu memiliki hierarki yang diterima dalam evolusi yang panjang dari zaman ke zaman, Sebagai contoh dikotomi ilmu yang tidak asing kepada masyarakat Islam, disebut ilmu 'ain dan ilmu kifayah (naqli dan aqli), iaitu jenis ilmu yang ditetapkan oleh syarak dan ilmu yang boleh mengalami perubahan. Oleh itu, pendekatan saintifik merupakan juzuk wahana untuk mendapatkan ilmu, jadi alur fikiran harus juga memiliki hierarki, dan satu usaha untuk mencari kebenaran. Kedudukan beginilah yang tidak dimiliki berdasarkan tradisi berfikir dunia Barat.

Dalam Islam banyak perkara-perkara pokok yang tidak memerlukan pendekatan saintifik, mantik atau rasional seperti yang difahami oleh Barat. Dalam Islam, hal-hal yang berhubung dengan keimanan seperti; percaya kepada Allah, malaikat, para rasul, kitab-kitab, tentang hari Akhirat, tidak boleh difikirkan melalui pendekatan saintifik, logik, mantik dan rasional. Kedudukan pengetahuan mengenainya berlandaskan keyakinan diri yang sungguh-sungguh kepada falsafah keimanan. Kerana itulah masyarakat Islam yang terpengaruh dengan propoganda Barat mengenai konsep saintifik, rasional dan objektif akan menolak perkara-perkara yang berada di luar skop pemikiran ini.

Bgai seorang pemikir dan saintis Islam, dia tidak boleh memisahkan dirinya dengan elemen-elemen yang membolehkannya berfikir, kerana akal tidak boleh dipisahkan daripada rahsia yang terkandung dalam Al-Quran, sebaliknya mengambil iktibar dan pengajaran  dan menerima sebab dan akibat untuk mengenal hakikat alam ini. Sebagai contoh, hakikat peristiwa Isra' dan Mikraj, Nabi Musa membelah Laut Merah dengan menggunakan tongkat dan sebagainya yang tidak boleh dihuraikan oleh kemajuan ilmu sains dan objektif.
Al-Farabi, tokoh Falsafah Islam
Tokoh Islam yang berpengetahuan luas, dalam bidang falsafah, aljebra, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.





















Pembangunan tamadun manusia tidak terpisah daripada sains dan teknologi. Menurut perspektif Islam, sejarah peradaban manusia menjelaskan bahawa sains berakar daripada agama, budaya, nilai-nilai kemanusiaan, cumanya Barat menolak tanggapan sedemikian dengan alasan-alasan yang sangat jahil. Sains Barat menyumbang kepada pembangunan yang dayus dan songsang, terlalu paradoks, mengabaikan prinsip-prinsip keinsanan. Jelas, sains dan teknologi yang dibina oleh Barat mengasingkan nilai-nilai kerohanian dan ketauhidan. Berbeza dengan Islam, kerana sains terbangun dalam peradaban dan acuan ketauhidan kepada Allah SWT.

Sains adalah ilmu yang berusaha untuk memahami tabii alam secara sistematik, mantik dan objektif. Nilai yang mendominasi seseorang itulah yang menjadikan mereka itu berfikiran kritis, positif dan juga objektif. Manakala Barat, hierarki atau martabat tidak wujud disebabkan mereka hanya merujuk satu sumber iaitu mantik. Martabat yang dimaksudkan dalam prinsip ilmu menurut Islam ialah adanya ilmu 'ain dan ilmu kifayah (kekal dan berubah), naqli atau akli. Barat memisahkan agama dan sains, hingga muncul falsafah saintisme yang melahirkan beberapa paradoks, di antaranya,  mereka berjaya membangunkan sains tetapi merosakkan ekosistem kehidupan dan pencemaran alam, kerana mengejar material. Mereka maju membangunkan sistem komunikasi, akan tetapi mereka kehilangan hubungan sosial dengan masyarakat yang begitu hampir sekalipun. Sains Barat berjaya menemukan proses pengklonan dalam bidang genetik untuk menghasilkan pelbagai produk kesihatan untuk manusia, dalam masa yang sama, mereka kehilangan insan yang bebas dan merdeka, berakhlak mulia, menghormati ibu bapa dan sebagainya. Melalui sains ekonomi, mereka terbangun di kelilingi kekayaan harta melimpah ruah, sementara mereka juga kehilangan sifat-sifat ikhlas dan mulia, diganti pula sikap individulistik, tamak dan haloba, terakhirnya Barat maju sains dan teknologi di dalam hidup yang sementara, akan tetapi mereka gagal menguruskan diri untuk kepentingan dan kekayaan di Akhirat yang kekal abadi sifatnya.

Manusia diuji sama ada mereka menggunakan sumber-sumber material yang diperolehi dengan mematuhi segala perintah Allah SWT ataupun sebaliknya. Manusia bebas memilih tetapi hendaklah ingat dunia sebenar tempat kembali, sepertimana firman Allah dalam Surah al- Maidah yang bermaksud:

.....' Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu). tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu berbuat kebaikan (beriman dan beramal salih). Kepada Allah SWT jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa-apa yang kamu berselisih padanya.'
                                                                                           ( Surah al-Maidah 5:48)


Dalam Surah Al-Kahfi Allah SWT menyebut, maksudnya:

' Sesungguhnya Kami telah jadikan apa-apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya.'
                                                                                           (Surah al-Kahfi 18:7)



















Sumber melalui sejarah di Eropah tentang penerimaan ide-ide tokoh Islam tidak boleh disangkalkan.Sekiranya baru sekarang mereka mengatakan Islam jumud dan menyediakan individu untuk jalan ke akhirat, inilah pembohongan terbesar yang mereka lakukan. Subjek agama dan saintifik merupakan wacana.
 Menjelang penghujung abad ke-13, sains dan falsafah Arab telah menular ke Eropah. Dan Sepanyol yang berperanan sebelum ini sebagai orang tengah  telahpun berakhir( Philip K.Hitti, History of the Arabs, hlm.588-589). Menjelang akhir abad ke-14, tugas adaptasi dilakukan oleh Eropah. Pandangan intelektual tokoh-tokoh Islam disadurkan ke dalam penemuan Barat, bagaikan penenun yang khusuk terhadap keindahan kain tenunannya. Tidak menjadi rahsia kegelojohan mereka mencungkil khazanah ilmu daripada Timur. Selama berabad-abad, penemuan daripada Ibn Sina, Ibn Rushd, Al-Ghazali dalam bidang falsafah, perubatan dicetak semula oleh Barat. Masyarakat di Eropah mula mengiktiraf dan menghargai cara berfikir Islam. Mereka tidak dapat menafikan, Eropah boleh melihat agama Islam bersaing dengan Kristian dengan sikap terbuka. Malah, pada abad ke-17, ramai kalangan mereka mempertahankan Islam daripada prasangka Zaman Pertengahan serta mempertahankan nilai keikhlasan dan taqwa umat Islam. Pierre Boyle, seorang ahli falsafah dan memuja toleransi mengemukakan dalam edisi pertama Dictionnoire Critique, (1697), penulisan objektif tentang riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. berdasarkan ukuran tulisan ilmiah. Malahan masyarakat Islam bersedia memberi perlindungan kepada Kristian  Protestan ketika peristiwa Kristian Katholik (Ortodoks) menjahanamkan mereka. Menurut mereka, Islam disanjung sebagai sebuah agama rasional, yang berlainan sekali dengan dogma Kristian-yang amat bertentangan dengan akal.

Gejala penyebaran ilmu daripada Islam sudah lama berakar, mana mungkin sekarang mereka menafikannya, setelah pepohonan ilmu merendang teguh mencecah ke langit. Dalam perkembangan mutakhir memperlihatkan perubahan yang berbeza daripada sebelumnya. Alfred North Whitehead pernah menegaskan: " Apabila kita mengambil kira peri pentingya agama kepada umat manusia dan begitu juga halnya dengan sains, maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sejarah masa hadapan bergantung kepada keputusan generasi kini tentang kaitan antara kedua-duanya." (1925. Science and The Modern World.New York: The Macmillan Company.hlm.252-253).


Al-Quran mengajak manusia berfikir, menilai wahyu dengan teliti dan rasional. Firman Allah yang bermaksud: 'Patutkah mereka tidak mahu memikirkan isi al-Quran ? Kalaulah al- Quran itu tidak datang dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.' ( Surah al-Nisa' 4:82)




No comments:

Post a Comment