Sunday, December 14, 2014

Liberalisme Menurut Pandangan Hidup Islam

Secara umum, liberalisme berselindung disebalik hak asasi manusia, para pendokong liberalisme memperjuangkan kebebasan individu yang mutlak tanpa sekatan atau dengan sekatan yang paling sedikit. Mereka mempunyai gagasan yang menyatakan bahawa individu lebih penting dari masyarakat dan setiap individu bebas dari ikatan agama.
Serangan pemikiran liberal yang kuat mengancam dan menghakis kefahaman Islam yang sahih di kalangan umat Islam Malaysia ketika ini merupakan rentetan daripada serangan pemikiran. Fahaman liberal ini yang dahulunya dipelopori oleh pemikir Barat semasa Zaman Renaissance dan para orientalis semasa perkembangannya, tanpa sedar atau tidak atau kerana terpesona dengan ketamadunan dicapai Barat. Barat menayalurkan pemikiran secular kpd masyarakat Timur.
Umar al-Khattab ra pernah menasihati kaum muslimin bahawa “akan terungkailah ikatan Islam satu persatu dari seorang yang lahir membesar di dalam Islam tetapi tidak mengenali jahiliyyah“. Oleh itu, menjadi kewajipan kita umat Islam untuk mengenali apakah ciri-ciri musuh Islam yang membawa fahaman liberal ini di samping mempelajari dan mengamalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.


Ciri-ciri liberalisme

1. Memperjuangkan pluralisme agama. (semua agama sama) yakni menyembah Tuhan yang satu dan semuanya membawa ke jalan kebenaran. Akibatnya timbullah kes seperti Sambutan Kongsi-Raya antara agama yang difatwakan haram oleh Muzakarah Ulama 2006 di Perak.
2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan untuk murtad kepada orang Islam. Mereka memperjuangkan ide ini seperti yang terjadi dalam kes Lina Joy kerana terpengaruh dengan konsep Hak Asasi Manusia tajaan Barat yang memutlakkan hak kebebasan individu dalam beragama, di samping kejahilan mereka menafsirkan Al-Qur’an dan Hadis mengikut citarasa mereka seperti ayat 256 surah al-Baqarah. Perjuangan mereka diperhebatkan lagi dengan penubuhan Inter-Faith Council (IFC) yang cuba menghakis ajaran Islam yang dilihat bertentangan dengan ide kebebasan beragama mereka.
3. Al-Qur’an perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman. Pendokong fahaman liberal mengatakan bahawa Al-Qur’an perlu ditafsirkan semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama(turath) terdahulu yang sudah ketinggalan zaman. Mereka berpendirian bahawa pentafsiran baru bagi Al-Qur’an tidak perlu terikat dengan disiplin ilmu tafsir dan memadai hanya dengan akal serta rasional semata-mata.
4. Mempertikati syari’at dan hukum Allah swt dengan hujah rasional seperti hukum faraid, poligami, kewajipan bertudung bagi wanita, hukuman bunuh bagi orang murtad, hukum hudud, hak suami mencerai isteri dan larangan berkahwin antara orang Islam dan bukan Islam.
5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama. Mereka mengatakan bahawa undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia serta mendesak pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Negeri supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat.
6. Mendokong gerakan pembebasan wanita (feminisme). Mereka menyeru agar wanita Islam mencontohi wanita Barat dan menuntut persamaan hak antara lelaki dan wanita seperti pembahagian harta pusaka, poligami, hak penceraian serta menentang pakaian menutup aurat.
7. Meragui kesahihan sebahagian teks Al-Qur’an dan penyusunannya dengan mengatakan bahawa teks Al-Qur’an telah dicemari dan ditambah-tambah oleh para sahabat Rasulullah saw seperti dalam surah at-Taubah.
8. Mempertikai hadis Nabi saw bercanggah dengan Al-Qur’an. Mereka melaga-lagakan hadis Nabis saw yang kelihatan bertentangan dengan Al-Qur’an sedangkan sebenarnya mereka tidak memiliki keahlian dalam mengeluarkan hukum.
9. Menghina keperibadian Rasulullah saw dengan mengatakan Rasulullah saw gila seks dan sebagainya.


Menurut Dr.Khalif Muammar:

Ada dua jenis orang Islam yg hidup di Barat, pertama yang semakin kuat jati diri keislamannya kerana mampu berhadapan dengan peradaban Barat dengan penuh keyakinan diri, ilmunya cukup dan pemikirannya lurus. Dan kedua orang yang semakin luntur jati dirinya dan menjadi seorang sekular dan liberal kerana kehilangan keyakinan pada peradaban dan worldview Islam sehingga menerima apa sahaja idea Barat dan cuba menjustifikasikannya dengan ajaran Islam.

Saya fikir golongan liberal juga merupakan golongan ekstrimis atau pelampau. Kerana mereka ingin memaksakan tata nilai dan kerangka pemikiran asing yang mereka pegang untuk diterima oleh masyarakat umum yang memiliki tata nilai dan kerangka pemikiran yang berbeza, mereka memaksa masyarakat menerima sekularisme, human rightisme, dan pluralisme agama.
Golongan feminis, sebagai contoh, menganggap bahawa ketaatan isteri kepada suami merupakan satu bentuk syirik. Kerana bagi mereka keduanya adalah sama rata, yang satu tidak lebih dari yang lain. Golongan liberal ingin memaksakan masyarakat Islam agar menerima golongan LGBT sebagai golongan yang memiliki hak yang sama dengan orang biasa dan diterima oleh masyarakat selayaknya manusia yang normal.
Tapi yang sering berlaku adalah sebaliknya, yang menentang golongan liberal ini yang dianggap ekstrimis dan yang menerimanya sering ditonjolkan sebagai moderates.

Liberalisme bagi pandangan saya merupakan filsafat yang direka dengan perancangan untuk menghina dan memperlecehkan Islam yang tertegak berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Islam merupakan agama yang mengiktiraf rasionalisme berasaskan aspek-aspek fundamental Islam, iaitu Iman. Menurut al-Faruqi, tidak bererti bahawa manusia menyerah atau menerima bulat-bulat sesuatu tanpa sebab dan akibat atau tanpa keyakinan yang rasional. Apabila dikaitkan dengan Islam, Al-Quran merupakan wahyu yang cukup rasional, dan teratur untuk kehidupan awal manusia hingga ke akhir zaman. Menurut beliau lagi, keimanan kepada Pencipta memerlukan akal dan rasional terhadap kewujudan dan keesaan Tuhan. Akal merupakan anugerah yang mulia kepada manusia dalam mempertimbang sesuatu, dan bukan rasional yang difahami oleh Barat yang lebih condong kepada epistemologi yang kehilangan punca.

         















No comments:

Post a Comment